Translate

Ahad, 2 Jun 2013

Penganut Buddha baling batu pada orang Islam

YANGON 29 Mei - Seorang penduduk ditetak sehingga mati dan empat lagi cedera dalam keganasan terbaharu membabitkan penganut Islam dan Buddha di utara Myanmar hari ini.
Kematian pertama itu dicatatkan selepas beratus-ratus penganut Buddha di bandar Lashio yang menaiki motosikal sambil membawa batang besi dan buluh runcing, membaling batu ke arah premis serta rumah penduduk Islam.
Kejadian hari ini berlaku sehari selepas rusuhan kaum di antara penganut Buddha dan Islam yang menyaksikan beberapa masjid, sekolah agama dan kedai dibakar.
Kebanyakan penganut Buddha dan Islam tidak keluar rumah dengan kedai-kedai ditutup ekoran insiden rusuhan yang tercetus selepas seorang lelaki Islam, Ne Win, 48, menyimbah petrol dan membakar seorang wanita penjual minyak Buddha, Aye Aye Win, 24.
Keadaan agak tenang pada pagi ini, tetapi menjelang petang beratus-ratus pemuda Buddha yang menunggang motosikal berteriak sambil memegang kayu merayau-rayau di sekitar bandar berhampiran bangunan Dewan Bandar Raya.
Seorang sami Buddha turut dilihat menjadi pembonceng kepada kumpulan bermotosikal itu sambil memegang kayu.
“Keluarga saya hanya berkurung di rumah kerana takut akan diserang. Terdapat khabar angin yang menyatakan keganasan akan tercetus hari ini," kata seorang penduduk Islam, Ko Maung Gyi yang bercakap melalui telefon dari rumahnya di Lashio.
Dalam insiden semalam, televisyen kerajaan MRTV melaporkan, sebuah masjid dan sebuah sekolah agama serta beberapa kedai milik penduduk Islam dibakar oleh penduduk Buddha di bandar Lashio, negeri Shan semalam, kira-kira 190 kilometer ke selatan Muse di sempadan China.
Insiden keganasan terbaharu itu memburukkan lagi masalah yang dihadapi oleh usaha pembaharuan kerajaan pimpinan Presiden, Thein Sein.
Menurut penduduk, selepas pihak polis menahan suspek yang membakar wanita itu, penganut Buddha mengepung balai polis dan menuntut supaya Ne Win diserahkan kepada mereka.
Namun, tuntutan mereka ditolak dan menyebabkan kumpulan itu mengamuk serta bertindak membakar masjid Myoma berhampiran pasar Lashio

Kerana punggung...


LOS ANGELES 31 Mei - Keghairahan seorang wanita untuk memiliki punggung yang lebih montok melalui suntikan silikon, akhirnya membawa padah apabila dia kehilangan kedua-dua belah kaki dan tangannya.
Apryl Michelle Brown, pemilik kedai salon kehilangan kaki dan tangannya kerana suntikan yang dilakukan tidak menggunakan silikon biasa, tetapi silikon penebat yang digunakan pada bangunan.
Ketika bercakap dalam wawancara 'This Morning', menerusi rangkaian satelit baru-baru ini, Michelle dari Los Angeles berkata, dia mengimpikan bentuk punggung yang menawan sejak kecil lagi.
Wanita berusia 46 tahun itu menjelaskan bahawa impiannya itu menjadi cerah selepas seorang wanita yang datang ke salonnya pada 2004 memaklumkan tentang tempat untuk mendapatkan suntikan silikon yang boleh menjadikan punggungnya cantik.
"Impian saya memiliki punggung yang seksi menjadi kenyataan selepas menjalani prosedur suntikan itu sebanyak dua kali, namun tidak menyangka ia merupakan permulaan tragedi buat saya.
"Setahun kemudian, silikon yang dimasukkan ke dalam punggung saya mengeras menyebabkan saya berasa sakit dan gatal," katanya.
Michelle berkata, dia menanggung sakit selama lima tahun sebelum bertemu doktor pada 2011 untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dia kemudiannya dimaklumkan bahawa bahan silikon yang disuntik itu telah mengeras dan tidak boleh dikeluarkan dan hanya mempunyai masa 24 jam untuk hidup.
Lebih malang lagi, silikon penebat itu mengakibatkan kerosakan tisu badan dan sebahagian tisu punggung Michelle terpaksa dibuang.
Ketika di dalam proses pemulihan di kawasan tisu yang dibuang itu dia mengalami masalah jangkitan Staph, menyebabkan Michelle jatuh koma.
Disebabkan tiada pilihan, doktor terpaksa melakukan 27 pembedahan bagi membuang tisu punggung termasuk di bahagian tangan dan kaki Michelle yang mereput akibat jangkitan.
"Apabila saya sedar daripada pembedahan tersebut, saya tidak merasa sakit lagi dan mengetahui saya telah kehilangan kedua-dua tangan dan kaki.
"Saya berharap pengalaman saya ini memberi pengajaran kepada wanita lain supaya belajar bersyukur dan tidak mengubah kejadian Tuhan," jelasnya.
Baru-baru ini, Michelle yang menggunakan kaki palsu, menjalankan kerja-kerja amal dengan mengadakan aktiviti berjalan sejauh 4.82 kilometer, mengayuh basikal sejauh 16 kilometer dan berenang sejauh 150 meter.

6 kubur besar penduduk Palestin ditemui

BAITULMAQDIS 1 Jun - Enam kubur besar yang menempatkan berpuluh-puluh mayat penduduk Palestin yang dibunuh semasa perang Israel-Arab pada 1948 ditemui di daerah Jaffa, Tel Aviv.
Seorang pegawai tanah perkuburan Islam berkata, kubur tersebut ditemui ketika berlaku tanah runtuh apabila kerja-kerja pembaikan dilakukan di kawasan tersebut, kelmarin.
Seorang nelayan di Jaffa, Atar Zeinab, 80, berkata, ketika remaja, dia membantu mengumpul mayat penduduk Arab di Jaffa dan membawanya ke kawasan perkuburan itu pada bulan-bulan akhir peperangan pada 1948, yang menyaksikan wujudnya negara Israel.
‘‘Saya membawa kira-kira 60 mayat dalam tempoh tiga atau empat bulan semasa perang tersebut.
‘‘Kami dulu sering menemui mayat di jalan dan kebanyakannya kami tidak kenal pun identiti mereka,’’ katanya.
Dia berkata, keadaan ketika itu sangat berbahaya dengan kemungkinan terkena tembakan peluru atau letupan bom tangan.
‘‘Mayat-mayat ini akan dimasukkan ke dalam satu kubur dan dikebumikan,’’ katanya.