Translate

Rabu, 27 Mac 2013

Perang Korea Utara, Korea Selatan akan tercetus bila-bila masa



SEOUL - Pemerintah Korea Utara akan memutuskan komunikasi terakhir dengan Korea Selatan kerana peperangan mungkin tercetus pada bila-bila masa, kata rejim Pyongyang semalam.
Korea Utara membuat pengakuan itu sehari selepas memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan mengenai serangan nuklear.
Tindakan yang dilakukan itu sebagai tindak balas kepada sekatan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan ke atas Korea Utara selepas ujian nuklear ketiga dilakukan negara itu pada bulan Februari.
Pihak PBB menyekat kemasukan barang-barang mewah ke negara itu sebelum ini.
Tindakan Korea Utara tersebut juga untuk menunjukkan tentangan ke atas latihan ketenteraan yang sedang dilakukan melibatkan tentera AS dan Korea Selatan.
Korea Utara telah pun menghentikan panggilan talian kepada tentera AS yang mengawasi kawasan Zon Bebas Tentera (DMZ) di sempadan kedua-dua buah negara

Jiran dakwa diserang Bieber


LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Justin Bieber berlepas pulang dari Eropah ke kediamannya di sini kelmarin sebelum dia terlibat dalam pertengkaran dengan salah seorang jirannya.
Ia merupakan salah satu insiden terbaharu yang pelik berlaku dalam kehidupan penyanyi itu.
Jurucakap syerif di daerah Los Angeles, Steve Whitmore berkata, beberapa anggota pihak berkuasa telah dipanggil ke rumah Bieber yang berusia 19 tahun itu di Calabasas, California pada waktu pagi selepas seorang jirannya mendakwa dia diancam dan diserang oleh penyanyi berkenaan.
Menurutnya, satu laporan polis yang mendakwa Bieber melakukan ancaman dan serangan itu telah difailkan dan kini sedang disiasat.
Berdasarkan undang-undang negeri California, serangan itu dikategorikan sebagai melakukan sentuhan dan meludah.
Dakwaan tersebut dikemukakan selepas penyanyi lagu Boyfriend itu berlepas pulang dari Poland.
Bieber mengejutkan sekumpulan jurugambar dan pegawai di Lapangan Terbang Lodz Wladyslaw Reymont di Lodz, Poland dengan menanggalkan baju dalam cuaca yang sejuk semasa dia berjalan melalui pemeriksaan kesihatan untuk menuju ke jet peribadinya.
Sebelum ini dia lewat tiba untuk membuat persembahan di London dan memakai topeng gas semasa keluar pada waktu malam.
Satu sumber yang rapat dengan Bieber menyatakan, pertengkaran tersebut berlaku selepas jirannya itu datang untuk mengadu bunyi bising ekoran parti yang berlangsung di rumah penyanyi tersebut.
Menurut sumber, berlaku pertikaman lidah tetapi tiada sentuhan fizikal berlaku, kata sumber berkenaan.
Portal hiburan TMZ.com melaporkan, perbalahan itu berlaku ekoran Bieber melakukan provokasi kerana dia memandu kereta baharu Ferrari di jalan raya dengan laju pada waktu awal pagi Selasa lalu.
Bagaimanapun, sumber-sumber penyanyi itu menafikan dakwaan tersebut.
Setakat ini tiada tangkapan yang dibuat pihak berkuasa berhubung kejadian 

Isnin, 11 Mac 2013

Penduduk Fukushima saman kerajaan Jepun ....kes nuklearr


TOKYO - Beratus-ratus orang yang terjejas akibat krisis nuklear Fukushima di Jepun telah bertindak memfailkan satu tuntutan mahkamah semalam.
Tuntutan itu dilakukan bagi mendesak satu usaha lebih besar dilakukan bagi membersihkan rantau yang tercemar dengan radiasi dalam tempoh dua tahun selepas bencana tersebut berlaku di timur laut Jepun itu.
Kira-kira 800 plaintif memfailkan kes tuntutan saman itu di Mahkamah Daerah Fukushima.
Mereka menuntut pampasan sebanyak 50,000 yen (RM1,618) sebulan untuk setiap seorang daripada kerajaan dan syarikat Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) sehingga kawasan berkenaan kembali pulih, kata seorang peguam bela penduduk Fukushima menerusi satu kenyataan.
Kesemua plaintif itu berasal dari Fukushima tetapi terdapat juga beberapa penduduk di wilayah jiran terbabit, kata peguam bela tersebut.
"Melalui kes itu, kami mahu langkah-langkah pemulihan di wilayah tersebut dilakukan agar ia kembali seperti kepada keadaan sebelum pencemaran radiasi mencemari kawasan berkenaan.
"Kami menuntut pampasan untuk masalah kesakitan psikologi sehingga proses pemulihan berakhir," kata kenyataan tersebut.
Gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada 11 Mac 2011 menyebabkan loji jana kuasa nuklear Fukushima Dai-Ichi mengalami kebocoran radioaktif.

Adik Kiram bincang tamat pencerobohan



MANILA - Seorang adik pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Manuel Roxas II di ibu pejabat polis di pinggir bandar Quezon, utara Manila semalam.
Menurut akhbar dalam talian Inquirer.net, pertemuan antara Bantilan Esmail Kiram II yang merupakan adik Jamalul Kiram dengan Roxas menunjukkan kesediaan keluarga Kiram untuk menamatkan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Sebelum ini, para pengikut Jamalul Kiram menceroboh Sabah pada 12 Februari lalu dan bertempur dengan anggota-anggota keselamatan Malaysia.
Kumpulan pengikut itu mendakwa mereka menuntut tanah warisan nenek moyang Jamalul Kiram di Lahad Datu.
Pertemuan antara Esmail Kiram dengan Roxas itu membincangkan strategi untuk menamatkan krisis di Sabah.
Pendedahan tersebut dibuat pada sidang akhbar adik Jamalul Kiram itu yang disertai beberapa anggota keluarganya selepas pertemuan tersebut berlangsung.
Bagaimanapun, Esmail Kiram enggan mendedahkan butiran terperinci tentang pertemuan itu dengan menyatakan cadangan mereka untuk menamatkan krisis tersebut perlu diketahui oleh Presiden Filipin, Benigno Aquino III terlebih dahulu.
Menurutnya, beliau pernah diundang oleh kerajaan Malaysia untuk bercakap dengan adiknya, Azzimuddie Kiram dan membantu dalam rundingan tetapi usaha tersebut menjadi sia-sia.
Azzimuddie merupakan ketua pengganas Sulu di Sabah yang mengetuai serangan terhadap anggota-anggota keselamatan Malaysia.
"Tidak ada keperluan untuk saya pergi ke sana. Beliau (Azzimuddie) memberitahu saya, beliau tegas dengan keputusannya untuk berada di Sabah," kata Esmail Kiram.
"Saya bimbang akan berlaku sesuatu terhadap diri saya," tambahnya.
"Pilihan kedua yang ditawarkan kepada saya adalah untuk menghantar satu pihak ke Malaysia bagi memastikan keselamatan keluarga Kiram dan para pegawai pemerintah Filipina.
"Namun, saya terkejut kerana kerajaan Malaysia sehingga kini tidak memberikan sebarang reaksi," kata Esmail Kiram.
"Ia bukan lagi menjadi kesalahan kami," tambahnya.
Menurutnya, jika beliau memujuk Azzimuddie untuk kembali ke Filipina dan meletakkan senjata, pujukan itu mungkin tidak didengari.
"Adalah sukar untuk menyuruhnya untuk pulang. Beliau pergi dengan kehendak sendiri," kata Esmail Kiram.
Beliau berkata, Azzimuddie tidak pernah memberitahunya tentang rancangan untuk ke Sabah.
"Beliau (Azzimuddie) berkata, tujuannya hanya untuk tinggal di sana kerana ia merupakan tanah kami dan mereka membawa senjata demi untuk keselamatan diri," katanya.
Esmail Kiram juga memberitahu pemberita bahawa Jamalul Kiram melarang anak perempuannya, Jacel Kiram daripada bercakap kepada media tentang isu pencerobohan di Sabah.
Menurutnya, hanya Abraham Idjirani dibenarkan untuk memberikan kenyataan kepada media.
Beliau berkata, Jacel yang merupakan seorang wanita mungkin beremosi ketika membuat kenyataan.
Ketika ditanya tentang dakwaan kekejaman polis Malaysia terhadap imigran Filipina di Sabah, Esmail Kiram menyatakan, ia bukan perkara baharu dan layanan buruk tersebut berlaku sejak sebelum krisis di Sabah berlaku.
"Mereka telah melayan warga Filipina bukan sebagai manusia biasa.
"Apa yang mereka lakukan adalah tidak mengikut Islam dan perlakuan orang tidak percayakan Islam," tambahnya.
Sementara itu, ketika mengulas tentang pertemuan dengan Esmail Kiram, Roxas memberitahu, tiada imuniti ditawarkan kepada keluarga Kiram daripada tindakan undang-undang semasa mereka bertemu.
Menurutnya, pertemuan tersebut menumpukan tentang isu pengunduran para penceroboh tersebut

Rabu, 6 Mac 2013

0ps daulat lahad datu

Lahad Datu: Selepas tiga minggu bertolak ansur dengan pengganas Sulu dari selatan Filipina, pasukan keselamatan semalam melancarkan serangan besar-besaran menerusi Ops Daulat terhadap mereka yang berkubu di Kampung Tanduo, di sini semalam. 


Serangan tiga peringkat bermula dengan pengeboman lokasi pengganas menggunakan tiga pesawat pejuang F-18D Hornet dan lima Hawk Mk-208 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 10 minit bermula jam 7 pagi yang terbang dari pangkalan TUDM di Labuan.

Ia diikuti serangan menggunakan mortar 81mm sebelum menghantar anggota masuk untuk mengesan pengganas.

Serangan peringkat ketiga ialah operasi ‘menggeledah dan membersih’ yang disertai kira-kira 1,000 pegawai dan anggota 21 Grup Gerak Khas, pasukan atur cepat 10 Briged Para serta Komando VAT69 dengan bantuan kereta perisai APC Condor.

Operasi membabitkan zon penampan kawasan selamat seluas 10 kilometer (km) persegi dari lokasi sasaran serta zon operasi pengeboman seluas empat kilometer persegi. 
Bagaimanapun, sehingga jam 9 malam tadi, pasukan keselamatan belum mengumumkan bilangan pengganas yang terbunuh atau ditawan. Namun, menurut sumber 20 hingga 30 mayat telah ditemui.

Sambil menyifatkan Ops Daulat mencapai matlamat awal, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera atau terkorban dalam serangan itu.

"Operasi menggeledah dan memburu saki baki pengganas masih diteruskan. Saya yakin musuh masih berada di kawasan sasaran kerana polis dan tentera mendapat tentangan dalam bentuk tembakan yang dilepaskan kumpulan pengganas. 

"Oleh itu, pergerakan pasukan keselamatan agak perlahan ketika ini (petang) kerana keutamaan adalah keselamatan anggota kita," katanya dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di sini, semalam.

Kira-kira 200 pengganas yang mendakwa Tentera Kesultanan Sulu mendarat di Kampung Tanduo pada 12 Februari lalu dan dikepung pihak keselamatan negara.

Pelbagai usaha kerajaan, termasuk berunding supaya mereka pulang secara sukarela menemui jalan buntu. Malah, mereka bertindak ganas apabila membunuh dua anggota polis di kampung itu, Jumaat lalu, diikuti serangan hendap terhadap pasukan risikan polis di Kampung Simunul, Semporna, sehari kemudian dan membunuh enam lagi anggota.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu, Ismail berkata, sejurus selepas serangan udara, tentera dan polis melancarkan serangan mortar kira-kira 10 minit untuk memudahkan pergerakan pasukan keselamatan memasuki zon operasi.

Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai operasi itu, khususnya mengenai jumlah kematian atau kecederaan kerana berita yang tidak tepat ini boleh menjejaskan operasi.

“Saya minta orang ramai tak perlu bimbang kerana operasi ini hanya dilancarkan di Kampung Tanduo... saya minta orang ramai tidak masuk ke zon operasi," katanya.

Sementara itu, Zulkifeli berkata, serangan udara hanya dilancarkan selepas pihaknya pasti tiada orang awam di zon operasi berkenaan.

Ditanya senjata dan kelengkapan digunakan dalam operasi itu, beliau berkata: "Oleh kerana operasi masih berterusan, sistem yang kami gunakan tak boleh dedahkan, tapi kita ada gunakan letupan tertentu untuk memastikan keselamatan pasukan terjamin sebelum masuk ke zon operasi"

Wanita besi teruskan mogok lapar 12 tahun

New Delhi: Seorang wanita India yang melancarkan mogok lapar selama lebih 12 tahun memberitahu Sky News beliau akan meneruskan bantahannya walaupun didakwa dengan cubaan membunuh diri. 

Irom Sharmila memulakan tindakan itu selepas menyaksikan pembunuhan sekumpulan penduduk awam oleh pasukan separa tentera India di Manipur pada November 2000. 
Wanita berusia 40 tahun itu berkata beliau tidak akan menamatkan mogok lapar kecuali kerajaan India memansuhkan kandungan kontroversi perundangan Akta Kuasa Khas Pasukan Bersenjata (AFSPA). 


“Saya rakyat demokratik. Saya bukan wanita sukakan keganasan, cuma mahukan kehidupan normal. Saya bersungguh-sungguh dengan matlamat saya. Perjuangan ini amat diperlukan sama ada ia sukar atau mudah ia bukan masalah,” katanya. 

Tuntut kemerdekaan 

AFSPA memberikan askar India imuniti daripada pendakwaan di kawasan yang berlaku konflik. 

Pemberontakan berlaku selama lima dekad kebelakangan ini di di Manipur, di timur laut India. Sekumpulan militan menuntut kemerdekaan daripada India. 
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa AFSPA digunakan oleh tentera sebagai perlindungan sah untuk melakukan penderaan dan pembunuhan. 

Irom juga dikenali sebagai Wanita Besi Manipur oleh penyokongnya, tidak makan sebarang makanan pejal selama lebih 12 tahun. 

Beliau baru-baru ini ditahan dan dipaksa makan dua kali sehari menerusi tiub di hidungnya. 

Pemakanannya mengandungi cecair karbohidrat, protein dan vitamin. 
Irom ditahan tiga hari selepas mogok laparnya bermula tetapi menurut undang-undang India perlu dibebaskan setiap tahun untuk melihat jika beliau akan makan semula. 

Pada 2006, ketika dibebaskan, beliau melancarkan mogok lapar di New Delhi tetapi ditahan dan didakwa dengan cubaan membunuh diri menurut seksyen 309 kanun keseksaan India

13 mayat pengganas ditemui di Kampung Tanduo

LAHAD DATU — Sebanyak 13 mayat pengganas bersenjata ditemui di Kampung Tanduo dalam operasi susulan dan penggeledahan hari ini selepas gerakan ofensif dilancar pasukan keselamatan negara terhadap kubu kumpulan penceroboh di kampung itu.
Satu daripada mayat itu adalah pengganas yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan pada pukul 6.45 pagi ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Bercakap pada sidang akhbar bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada pukul 4 petang ini, Ahmad Zahid berkata, sembilan daripada mayat itu ditemui dalam sebuah liang kubur yang ditutup dengan kepingan papan.
Beberapa keping gambar Ops Daulat yang dirakam pasukan keselamatan diedar kepada media, antaranya mayat pengganas yang di dalam sebuah kubur.
Turut diedar ialah gambar anggota forensik diserang pengganas ketika memeriksa sebuah kubur di kampung itu dan senjata yang dirampas pasukan keselamatan

Slim masih kekal manusia terkaya di dunia


Slim masih kekal manusia terkaya di dunia

NEW YORK - Bilionair dari Mexico, Carlos Slim yang merupakan taikun telekomunikasi America Movil dan pemilik kumpulan Grupo Carso mengekalkan kedudukan individu terkaya untuk tahun keempat berturut-turut dengan jumlah kekayaan dianggarkan bernilai AS$73 bilion (RM226.48 bilion).
Kekayaannya meningkat AS$4 bilion (RM12.4 bilion) berbanding pada tahun lepas.
Pengasas Microsoft Corporation, Bill Gates dari Amerika Syarikat menduduki tempat kedua diikuti pemilik rangkaian pakaian jenama Zara, Amancio Ortega dari Sepanyol.
Senarai kekayaan itu dikeluarkan majalah Forbes kelmarin.
Gates yang menduduki tempat kedua mempunyai anggaran kekayaan sebanyak AS$67 bilion (RM207.8 bilion) iaitu meningkat sebanyak AS$6 bilion (RM18.6 bilion) berbanding tahun 2012.
Ortega pula berjaya melonjak ke tempat ketiga dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$57 bilion (RM176.8 bilion).
Slim and Gates mengekalkan kedudukan nombor satu dan dua sebagai individu terkaya di dunia sama seperti pada tahun lepas.
Senarai individu terkaya di dunia kini meningkat kepada 1,426 orang termasuk 210 muka baharu.
Terdapat juga peningkatan ketara jumlah bilionair wanita yang kini berjumlah seramai 138 orang berbanding tahun lepas yang mencatatkan jumlah 104 orang.
Individu terkaya di Asia masih milik Li Ka-shing dari Hong Kong dengan jumlah kekayaan dianggarkan bernilai AS$31 bilion (RM96.1 bilion)